Syarat² Wajib Sebelum Beliau Muncul
Syarat-Syarat Wajib Sebelum Beliau Muncul
1. Tapak Daulah Imam Mahdi Disediakan oleh Orang Timur
A. Dari Abdullah bin al-Haris bin Jaz-uz Zabidi RA katanya, sabda Nabi SAW,
“Akan keluar orang-orang dari Timur, lalu mereka mempersiapkan untuk Imam Mahdi, yakni tapak pemerintahannya.”(Ibnu Majah)
Pemuda Bani Tamim adalah suatu gelaran yang sentiasa menggentarkan hati setiap pemerintah, sejak dari zaman permulaan Islam lagi hinggalah ke hari ini. Ini dengan mudah dapat dimengertikan karena setiap kali nama itu disebut, setiap kali itulah akan terasa kepada pihak pemerintah bahwa kedudukan mereka akan tergugat, dan kekuasaan mereka akan beralih tangan. Namun benarkah demikian? Siapa yang mengatakan demikian sehingga diyakini sangat-sangat oleh para pemerintah sejak dulu-dulu lagi? Apa yang ditakutkan sangat terhadap diri Pemuda Bani Tamim itu sehingga dianggap sedemikian rupa?
Pemuda Bani Tamim adalah gelaran kepada seorang lelaki yang tugas utamanya adalah membantu menaikkan Imam Mahdi sebagai pemerintah seluruh umat Islam. Disebutkan Bani Tamim karena memuliakan nasabnya dan untuk mengiklankan dirinya sebagai salah seorang pemimpin umat pada akhir zaman. Karena itulah jarang sangat orang yang mengaku dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim, sedangkan yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi sangatlah banyaknya. Memang rugi kalau seseorang itu mengaku dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim, karena dia mendapat kuasa pemerintahan tetapi tidak dapat dimilikinya. Pada perkiraan orang ramai dan pemerintah hari ini, orang yang mengaku dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim adalah orang yang paling bodoh di dunia ini.
Mana tidaknya, dia yang bersusah payah dan menanggung segala macam penderitaan yang berat-berat, tiba-tiba yang mendapat senang adalah orang lain, iaitu Imam Mahdi. Dia yang susah payah mendirikan pusat pentadbiran dan pemerintahan, tiba-tiba yang memerintah adalah orang lain, bukan dia sendiri. Melakukan tugasan yang amat besar dan berat inilah yang tidak tersanggup oleh sesiapa pun jua, melainkan oleh orang benar-benar disebutkan sebagai Pemuda Bani Tamim saja. Hanya dia seorang sajalah yang sanggup dan mampu berbuat demikian karena itulah yang disebutkan oleh baginda SAW dalam banyak haditsnya.
Memang jika dinilai dari segi lahirnya, begitulah adanya dan begitulah realiti yang berlaku. Memang telah ditentukan bahwa Pemuda Bani Tamim itu adalah orang yang benar-benar pejuang, berjuang untuk orang lain dan berjuang untuk Islam, tidak ada kepentingan peribadi walau sebesar sayap nyamuk. Ini dengan mudah dapat difahami oleh kita jika kita benar-benar menghayati maksud hadits-hadits yang menceritakan tentang diri beliau. Kelebihan beliau yang satu ini tidak mungkin akan dapat dipikul oleh sesiapa pun, melainkan beliau seorang saja. Hanya orang yang benar-benar berjuang untuk menaikkan Islam itu ke tempatnya yang mulia saja yang tidak mengira apa hasil akhir dari perjuangannya, sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain yang diyakininya lebih baik daripada dirinya sendiri. Mana ada pejuang Islam sekarang atau pemimpin dunia hari ini yang mampu berbuat seperti itu?
Bagaimana ini boleh berlaku? Jawabnya, karena beliau seorang yang amat ikhlas dalam perjuangannya. Hanya seorang yang ikhlas dalam perjuangannya saja yang mampu berbuat demikian. Lihatlah bagaimana Sayidina Khalid bin al-Walid RH semasa dilucutkan daripada jawatannya sebagai pemimpin tertinggi angkatan tentara dan menjadi seorang askar prebet biasa saja oleh Sayidina Umar RA. Hatinya langsung tidak berubah dan perjuangannya tetap kental seperti biasa. Kalau ada seseorang yang mampu berbuat demikian, itulah tandanya orang itu adalah seorang yang benar-benar ikhlas dalam pekerjaan dan perjuangannya.
2. Imam Mahdi dan Panji-panji Hitam
A. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan muncul setelah keluarnya Panji-panji Hitam dari sebelah Timur, yang mana pasukan ini tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun.” (Ibnu Majah)
B. Sabda Nabi SAW,
“Panji-panji Hitam akan keluar dari arah Khurasan, dan sementara itu kawan-kawan al-Mahdi (pula) keluar menuju ke Baitulmaqdis.”
C. Sabda Nabi SAW,
“Jika kamu semua melihat Panji-panji Hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah ia walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada Khalifah Allah yang mendapat petunjuk.” Maksudnya ialah al-Mahdi. (Ibnu Majah, Abu Nuaim & al-Hakim)
D. Sabda Nabi SAW,
“Apabila kamu melihat Panji-panji Hitam telah diterima di sebelah wilayah Khurasan, maka datangilah dia sekalipun terpaksa merangkak di atas salji karena padanya itu ada Khalifah Allah iaitu al-Mahdi.” (Abu Nuaim)
E. Abdullah bin Syuraikh berkata,
“Bersama-sama munculnya Al-Mahdi adalah panji-panji Rasulullah SAW, lengkap dengan cap capnya
sekali.”
F. Kata Sayidina Ali KMW,
“Apabila Panji-panji Hitam menghala ke arah As-Sufyani, dan para pengikut Syuaib bin Saleh mencari-cari Al-Mahdi, dia akan muncul dari Makkah dan bersama-sama dengannya adalah Panji-panji Rasulullah SAW. Dia akan membahagi dua pasukannya mengerjakan sembahyang, setelah orang ramai meletakkan harapan kepadanya selain berpanjangan bala yang menimpa mereka. Setelah selesai sembahyang, dia mendapatkan mereka dan berkhutbah, “Wahai manusia, ujian-ujian yang berterusan menimpa umat Muhammad SAW, terutamanya kepada Ahlulbait, (antaranya) adalah (karena) kamu dikuasai dan dipersalahkan.”
Jelaslah di sini bahwa peranan Panji-panji Hitam amatlah penting sebelum kemunculan Imam Mahdi. Apa yang difahamkan ialah bahwa Imam Mahdi tidak akan muncul, melainkan setelah Pemuda Bani Tamim yang membawa Panji-panji Hitam itu muncul dan mendiri serta mempersiapkan tapak daulah untuk Imam Mahdi. Setelah itu barulah Imam Mahdi muncul. Inilah urutan yang perlu diikut oleh Imam Mahdi.
Asar oleh Imam Ali KMW ini juga memberitahu kita bahwa Imam Mahdi amat menitikberatkan sembahyang bagi para pengikutnya. Jadi, seseorang yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi mestilah mendahulukan sembahyang kepada para pengikut dan umat Islam sebaik-baik saja beliau diangkat menjadi khalifah. Orang yang tidak berapa memberatkan sembahyang kepada para pengikutnya atau umat Islam, maka orang itu juga bukanlah Imam Mahdi yang sebenar.
Sembahyang yang didirikan oleh Imam Mahdi dan para pengikutnya adalah sembahyang yang penuh
khusyuk, yang mampu membina keperibadian mereka seperti peribadi para sahabat RA dan mampu
pula mendatangkan pertolongan dan bantuan Allah kepada mereka secara terus.
Dan seperti biasa, apabila seseorang pemimpin itu berjaya memimpin pengikutnya kepada khusyuk dalam sembahyang, maka si pemimpin itu sendiri mahu tidak mahu mestilah terlebih dahulu adalah orang yang telah khusyuk dalam sembahyangnya karena mustahil seorang yang tidak khusyuk dapat menunjukkan cara khusyuk kepada orang yang belum khusyuk sehingga mendapat khusyuk.
Ranjau dan jeram yang menanti orang yang baru merasa khusyuk amatlah dalam dan luas, tidak akan
mampu dicapai tanpa ada panduan daripada sang pemimpinnya. Dan ranjau serta jurang itu tidak
akan sekali-kali diketahui oleh sesiapa pun melainkan oleh seorang yang telah pernah merasa apa itu
khusyuk dan telah memahami setiap liku dan ranjaunya. Cara untuk mencapai khusyuk itu juga tidak
akan diketahui oleh sesiapa pun melainkan oleh orang yang telah sampai kepadanya rasa khusyuk itu.
Ilmu-ilmu seperti ini tidak ada di dalam mana-mana kitab, dan tidak ada juga diajarkan di mana-mana
universiti pun.
3. Askar Islam yang Amat Hebat
A. Kata sahabat RA,
“Al-Mahdi berserta askarnya akan muncul daripada Timur. Sekiranya gunung menjadi penghalang (perjalanan) mereka, nescaya gunung itu akan (mereka pukul sehingga) hancur rata menjadi jalan mereka.”
B. Sabda Nabi SAW,
“Akan datang Panji-panji Hitam dari Timur, seolah-olah hati mereka adalah kepingan-kepingan
besi. Sesiapa yang mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiatlah
kepada mereka, sekalipun terpaksa merangkak di atas salji.” (Al-Hafiz Abu Nuaim)
C. Kata Sayidina Ali KMW,
“Maka Allah Azza wa Jalla menghimpunkan sahabat-sahabatnya (tentara al-Mahdi yang dipanggil Ikhwan) seramai tentara-tentara Badar dan seramai tentara Talut, iaitu 313 orang lelaki, seolah-olah mereka itu singa-singa jantan yang keluar dari hutan. Hati mereka itu ibarat kepingan-kepingan besi. Kalau mereka berkehendak untuk memindahkan gunung, nescaya akan mereka lakukan. Pakaian mereka sejenis dan seolah-olah mereka itu dari satu ibu dan satu ayah.”
Golongan Ikhwan ini, jumlahnya adalah 313 orang. Mereka merupakan golongan pemimpin umat manusia semasa pemerintahan Imam Mahdi. Peranan mereka adalah sama dan setara dengan peranan Sahabat dahulu. Gelaran Ikhwan dan Sahabat itu hanyalah untuk memudahkan kita membedakan zaman mereka berada saja. Jika para sahabat muncul pada awal Islam, maka Ikhwan muncul pada zaman akhirnya.
Sifat-sifat mereka ini ada dinyatakan di dalam hadits-hadits di atas, amat mudah difahami (walaupun amat sukar melaksanakannya) dan rasa-rasanya penulis tidak perlu memperpanjangkannya lagi di sini.
Ikhwan adalah suatu nama yang umum, namun golongan yang digelar Ikhwan adalah suatu yang jarang-jarang berlaku dalam sejarah Islam. Sepanjang sejarah umat Islam yang sudah lebih seribu empat ratus tahun ini, hanya beberapa peristiwa saja yang menggunakan nama Ikhwan, itupun sebahagiannya tidak sepopular mana pada mata masyarakat seluruh dunia. Ini membuktikan lagi bahwa hadits-hadits mengenai golongan Ikhwan ini memang tidak popular, baik pada ulamanya, para pemimpinnya, rakyat jelata dan umum masyarakat. Dan dikarenakan itu pulalah, dengan mudah kita dapat membedakan antara yang benar-benar mengikut hadits atau hanya menumpang nama saja atau termenggunakan nama Ikhwan itu secara tidak sengaja.
Sejarah terawal penubuhan anggota Ikhwan adalah pada abad kesembilan Hijrah dahulu, oleh Imam as-Suyuti RH. Memang kita ketahui bahwa Imam as-Suyuti RH banyak mengkaji hadits berkenaan peristiwa akhir zaman, banyak fahamnya termasuk yang seni-seni mengenainya dan beliau juga ternyata amat berminat dengan hal-hal yang sedemikian. Beliau pernah menubuhkan jemaahnya sendiri yang dikenali sebagai golongan Ikhwan, mengambil sempena golongan Ikhwan yang disebut sebut oleh hadits Nabi SAW. Mereka ini berpakaian hijau manakala yang perempuannya berpakaian hitam, semasa berjalan sentiasa bergerombolan dan tinggal di kawasan Timur, iaitu di timur Palestin.
Mereka tidak mengangkat senjata dalam perjuangan mereka, sama seperti yang disebut oleh hadits hadits dan akhirnya bubar setelah beberapa lama masa berlalu.
Mereka mendapat didikan agama dan mempunyai kefahaman yang hampir sama dengan pemimpin mereka iaitu Imam as-Suyuti RH sendiri. Sayangnya, jumlah mereka tidaklah tepat 314 orang seperti yang disebutkan oleh hadits dan tempat tinggal mereka juga tidaklah tepat di Timur seperti yang dinyatakan oleh hadits. Zaman mereka muncul juga adalah tidak bertepatan dengan masa yang sebenar, walaupun mereka ini muncul pada awal kurun Hijrah. Pemimpin mereka iaitu Imam as-Suyuti RH bukanlah Pemuda Bani Tamim yang disebut-sebutkan itu. Mereka juga tidak menanti Imam Mahdi muncul karena matlamat utama Imam as-Suyuti RH berbuat demikian adalah untuk mendapatkan keberkatan saja, moga-moga beliau dan anggota Ikhwannya itu mendapat satu pahala, iaitu pahala berijtihad. Jika betul ijtihadnya, mereka mendapat dua pahala dan jika salah ijtihad itu, tetap mendapat satu pahala, iaitu pahala berijtihad. Mereka juga sebenarnya mendapat pahala pahala lain iaitu pahala berusaha, pahala berjuang dan pahala beramal secara berjemaah.
Itulah golongan pertama yang diketahui sejarah menggunakan nama Ikhwan dalam perjuangan mereka. Golongan kedua yang diketahui menggunakan nama Ikhwan dalam perjuangan mereka adalah dari kalangan pemimpin Bani Saud yang menyerang Makkah dan Madinah serta wilayah Hijaz yang lain. Mereka ini adalah pasukan tentara Bani Saud yang berfahaman Wahabi tulen yang menyerang kota Makkah dan Madinah sekitar tahun 1924 dan 1925 Masihi dahulu, dan seterusnya menakluk kedua-dua buah kota suci umat Islam itu, melepaskannya dari kekuasaan Bani Osmani Turki, dan merampas kekuasaan autonominya daripada Syarif-syarif yang sebelumnya berkuasa penuh ke atas kedua-dua kota suci itu. Pemimpinnya ketika penyerangan itu adalah Sultan Abdul Aziz bin Abdul Rahman El-Faisal Aali Saud, yang selepas penawanan kedua-dua kota suci itu memakai gelaran Al-Malik, dan gelaran itu kekal sehingga ke hari ini.
Yang mereka serang adalah Syarif Husain, pendiri Kerajaan Hasyimiah yang berpusat di kota Makkah. Mereka merampas beberapa benda berharga di kedua-dua buah kota suci itu, yang antaranya adalah milik peribadi Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda lalu dibawa ke Riyadh, ibu kota dan pusat pemerintahan Bani Saud itu. Mereka juga memusnahkan makam-makam Sahabat RA termasuk yang mati syahid, lalu meratakannya dengan tanah. Rumah keputeraan Rasulullah SAW juga turut dimusnahkan, dijadikan kandang binatang. Hanya akhir-akhir ini saja tempat itu dijadikan sebuah perpustakaan untuk bacaan umum. Nyata pula pasukan Ikhwan yang ini begitu keras, sama sekali tidak sesuai dengan namanya. Pasukan ini juga berjaya menakluk seluruh Hijaz dan meletakkannya di bawah kekuasaan mutlak raja baru di seluruh Hijaz iaitu Bani Saud. Oleh karena pemimpinnya adalah seorang yang tidak percayakan hadits-hadits mengenai Panji-panji Hitam, maka penggunaan nama Ikhwan bagi pasukan tentara ini hanyalah kebetulan semata-mata, bukannya menuruti hadits.
Golongan ketiga yang diketahui sejarah menggunakan nama Ikhwan ialah kumpulan yang terkenal di Mesir dahulu, iaitu Ikhwanul Muslimin. Mereka adalah golongan yang berjuang tanpa senjata, menegakkan semula Islam ke tengah-tengah masyarakat Mesir yang sedang menghadapi pergolakan jiwa yang amat hebat, antara Islam sebagai ajaran tradisi dengan tamadun Barat sebagai ideologi yang moden dan maju. Ketika itu rakyat Mesir sedang menghadapi tekanan daripada penjajah Inggeris yang cuba menanam rasa kagum mereka kepada tamadun Barat yang kononnya amat maju itu, untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka, dan meninggalkan kepercayaan lama mereka yang kolot itu. Pegangan agama mereka juga umumnya amat lemah dan Islam pada mereka lebih bersifat tradisi, bukannya sebagai pegangan dan anutan hakiki.
Dalam keadaan yang demikianlah, Hassan al-Banna muncul dengan membawa kaedah dakwah yang komprehensif dan ajaran agama yang progresif untuk diterapkan secara realiti oleh seluruh masyarakat Islam Mesir, bukan semata-mata teori. Usaha beliau ini tidak semata-mata atas inisiatif beliau seorang diri tetapi mendapat sokongan beberapa orang rakannya yang lain, yang turut gigih berjuang bersama-sama beliau. Ikhwanul Muslimin pernah mencapai puncak kegemilangannya sehingga mempengaruhi pihak pemerintah di Mesir sendiri dan penjajah Inggeris di sana. Semasa di puncak itu, gerakan ini mencapai ahli berjuta-juta orang dan meliputi pelbagai bidang profesional.
Namun, mereka bukanlah gerakan yang dimaksudkan karena Ikhwanul Muslimin menggunakan asas syariat lahir sebagai alat utama perjuangan mereka. Aspek kerohanian kurang diberi tumpuan dan inilah satu faktor utama yang membantu menumbangkan mereka semasa mereka berada di puncak kegemilangan. Para pemimpinnya, termasuk Hassan al-Banna sendiri mati syahid.
Ada yang mati ditembak dan ada yang dihukum gantung. Namun, gerakan Ikhwanul Muslimin masih
tetap hidup hingga ke hari ini, sambil pergerakan mereka diawasi ketat oleh pihak pemerintah di Mesir. Mereka juga tidak berniat mengembangkan gerakan Ikhwan ini ke seluruh dunia seperti yang ditetapkan oleh hadits-hadits.
4. Golongan Ikhwan
A. Dari Ibnu Umar RA katanya, Rasulullah SAW ditanya oleh para sahabat RA,
“Apakah ada orang yang beriman kepadamu sedangkan mereka tidak pernah melihatmu dan
membenarkan ajaranmu sedangkan mereka tidak pernah melihatmu?” Baginda SAW menjawab, “Mereka itu adalah Ikhwanku dan mereka bersama-samaku. Beruntunglah mereka yang melihatku dan beriman kepadaku dan beruntung juga mereka yang beriman kepadaku sedangkan mereka tidak pernah melihatku.” (diulang 3 kali). (Muslim)
Dalam hadits ini ada disebutkan golongan Ikhwan. Dalam hadits ini Rasulullah SAW menyatakan bahwa para Ikhwan ini lahir selepas baginda SAW wafat. Disebutkan juga bahwa orang-orang yang dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi Sahabat baginda adalah orang-orang yang sangat beruntung. Namun baginda SAW juga menyatakan bahwa orang-orang yang terpilih menjadi salah seorang Ikhwan adalah juga orang yang sangat beruntung, dan mereka ini dinyatakan lebih beruntung berbanding dengan Sahabat karena disebutkan Ikhwan ini beruntung sebanyak tiga kali, sedangkan Sahabat RA disebutkan beruntung hanya sekali.
Golongan Ikhwan yang dimaksudkan oleh baginda SAW ini adalah pemimpin-pemimpin kanan kepada Imam Mahdi, yang melalui merekalah agama Islam ini dinaikkan semula oleh Allah SWT ke tempat asalnya yang tinggi dan mulia, sama seperti Islam dinaikkan oleh Allah SWT pada permulaan dahulu melalui para Sahabat RA. Oleh itu, peranan mereka ini amatlah besar. Mereka hidup pada akhir zaman dan mereka adalah sebuah keluarga besar kepada Pemuda Bani Tamim.
Pemuda Bani Tamim itu adalah ayah kepada mereka dan mereka pula adalah anak-anak kepada
Pemuda Bani Tamim. Dan uraian lebih lanjut mengenai hal ini akan dapat dilihat pada bahagian-bahagian
seterusnya. Penulis tidak akan memanjangkan uraiannya di sini.
5. Siapa Itu IKHWAN?
A. Rasulullah SAW, ada menyebutkan mengenai Ikhwan ini yang maknanya kira-kira begini:
“Apabila azan sang muazin, berserulah dia, ‘Asyhaduan Lailahaillallah’, (ketika itu) bergoncanglah syurga. Sangatlah rindunya para bidadari dan bertambah-tambah rindunya lagi mereka akan Rasulullah SAW. Begitu juga segala mahligai syurga dan segala bilik peraduannya (bergoncang-goncang karena) amat rindu kepada Rasulullah SAW. Kemudian Rasulullah SAW itu pula, selain rindunya yang bersangatan kepada syurga, juga tersangat rindu kepada suatu toifah dari kalangan umatnya yang akan keluar pada akhir zaman nanti. Mereka itu berakhlak dengan akhlak nabi-nabi dan mengambil perjalanan yang ditempuh oleh para siddiqin. Mereka ini adalah ghurabak (orang-orang asing) di kalangan umum mukminin.”
Dalam hadits ini disebutkan bahwa golongan Ikhwan ini adalah suatu toifah, ertinya satu golongan kecil dari kalangan umat Islam yang sekian ramainya itu. Mereka ini muncul pada akhir zaman, bukan pada awalnya atau pada pertengahannya. Golongan Ikhwan ini adalah golongan yang sangat dirindui oleh baginda SAW, melebihi rindunya Baginda SAW kepada syurga dan para Sahabat RA. Jadi, sesiapa di antara kita yang dirindui oleh Baginda SAW, maka itulah tandanya dia ada harapan menjadi salah seorang daripada golongan Ikhwan yang disebutkan itu. Ada dua sifat utama yang terdapat pada setiap Ikhwan ini iaitu mempunyai akhlak seperti akhlak nabi-nabi dengan maksud, akhlak para nabi zaman dahulu terkumpul dan dapat dilihat secara realiti pada mereka, bukannya sekadar teori.
Yang keduanya ialah mereka beramal sesuai dengan amalan kesufian/kerohanian golongan siddiqin, dan tidak salah dinyatakan bahwa golongan siddiqin yang dimaksudkan di sini ialah golongan siddiqin tahap kedua yang hanya mampu dicapai oleh kalangan wali-wali besar yang telah mencapai tahap tertinggi pada masa-masa lalu, bukan siddiqin yang tahap pertama iaitu golongan salik yang baru hendak mencapai ke taraf wali. Maksud ini lebih sesuai memandangkan ketinggian akhlak mereka seperti yang disebutkan tadi. Maka padanlah kedua-dua penyataan ini jika digabungkan iaitu akhlak yang tinggi, yang menyamai akhlak nabi-nabi dengan taraf amalan mereka sebagai amalan para siddiqin.
Disebutkan juga bahwa golongan Ikhwan ini adalah amat asing, janggal, ganjil, aneh, jauh berbeda dan tersendiri daripada umat Islam umumnya. Malah mereka bukan saja kelihatan janggal pada pandangan masyarakat umum umat Islam, tetapi amat janggal juga pada pandangan kaum mukminin iaitu golongan yang telah baik agama mereka pada sisi Tuhan, dan baik pula penghayatan Islamnya. Kalau kaum mukminin saja pun sudah merasakan betapa asingnya golongan Ikhwan ini pada pandangan mereka, maka pada pandangan kita yang umum muslimin ini, lebih-lebih lagilah ganjilnya mereka itu. Hal ini rupa-rupanya sudahpun Baginda SAW terangkan sejak awal-awal lagi.
Hanya kita saja yang tidak berapa peka terhadap perkara yang pernah disebutkan oleh Baginda SAW itu.
B. Dari Abdullah RA, katanya, “Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW menanyakan, “Ya Rasulullah, bagaimana pendapatmu mengenai seorang yang mencintai suatu kaum, sedangkan dia belum pernah bertemu dengan kaum itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Orang itu nanti akan bersama-sama dengan orang yang dicintainya itu.” (Muslim)
Hadits ini umum maksudnya, tetapi Imam Muslim meletakkan hadits ini di tempat yang sesuai dengan hadits-hadits lain yang menceritakan keadaan umat Islam pada akhir zaman. Oleh itu, yang dimaksudkan oleh hadits ini dengan kaum adalah golongan Ikhwan. Maknanya sesiapa yang mencintai golongan Ikhwan ini, sama ada secara umum ataupun secara salah seorang daripada mereka, maka umat Islam itu juga akan mendapat syafaat untuk dimasukkan ke dalam syurga, seperti masuknya golongan Ikhwan ini ke dalam syurga. Nanti mereka akan ditempatkan bersekali dengan tempat yang telah dikhususkan untuk golongan Ikhwan ini, insya-Allah.
Maksud lain yang umum daripada hadits ini iala kalau kita mencintai seseorang yang fasik, maka kita akan turut sama fasik, seperti fasiknya orang yang kita cintai itu. Dan lazimnya orang yang fasik itu akan dimasukkan ke dalam neraka. Maka akan diikutnyalah orang fasik yang dicintainya itu ke dalam neraka.
Maksud tersirat daripada hadits ini ialah supaya kita berhati-hati sebelum mencintai seseorang atau sesuatu kumpulan. Lihat dahulu keadaan agama mereka, jika baik maka bolehlah kita ikuti.
C. Sabda Nabi SAW dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, “Islam itu permulaannya adalah asing, dan nanti akan kembali menjadi asing, seperti permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (Muslim)
Rasulullah SAW menyatakan bahwa agama Islam itu pada zaman dahulu, iaitu pada awal perkembangan oleh Rasulullah SAW, dipandang asing oleh orang-orang kafir Makkah. Maka sangatlah beruntung para Sahabat RA yang termasuk ke dalam golongan yang amat asing itu. Pada akhir zaman nanti, agama Islam akan kembali asing seperti masa awalnya, tapi kali ini asing pada pandangan umat Islam itu sendiri. Ikhwanlah golongan ghurabak yang dimaksudkan oleh hadits itu.
Dan golongan ghurabak ini jugalah yang menjadi golongan yang sangat beruntung seperti yang dikatakan itu. Itulah sebabnya Nabi SAW menyebutkan golongan Ikhwan ini beruntung sehingga tiga kali.
Keadaan agama Islam yang menjadi asing pada hari ini menunjukkan bahwa saatnya sudah amat hampir untuk Muhammad Kedua muncul. Muhammad Pertama muncul dengan membawa ajaran Islam yang amat asing pada pandangan masyarakat jahiliyah ketika itu. Dan kedatangan Muhammad Kedua dengan membawa ajaran Islam seperti yang pernah dibawa oleh Muhammad.
Pertama akan menaikkan semula Islam ke tempat yang sepatutnya, sama seperti yang pernah dibawa
oleh Muhammad Pertama dahulu. Sejarah ini pasti akan berulang sekali lagi di pentas dunia.
D. Sebuah hadits Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA menyebutkan kira-kira begini:
“Sentiasa ada satu golongan daripada umatku, (mereka) memperjuangkan kebenaran, selalu memperoleh kemenangan sampailah ke hari kiamat. Maka turunlah Nabi Isa bin Maryam AS (kepada mereka). Maka berkatalah pembesar mereka (Imam Mahdi) kepadanya, “Marilah ke hadapan, imamkan sembahyang kami.” Jawabnya, “Tidak. Sesungguhnya sebahagian kamu menjadi umarak bagi yang lain.” Inilah suatu penghormatan daripada Allah untuk umat ini.” (Muslim)
Mereka inilah golongan yang tidak pernah kalah seperti yang banyak disebut oleh hadits-hadits Nabi SAW dan tugas mereka ialah memperjuangkan kebenaran, bukan memperjuangkan poket sendiri atau parti yang terdiri daripada kelompok mereka saja. Untuk menjadi golongan yang tidak pernah kalah seperti yang disebutkan oleh hadits ini, mereka mestilah mendekatkan diri dengan Allah sedekat yang mungkin. Maksud dekat dengan Allah di sini hanyalah sesuatu hubungan yang amat abstrak, bukannya sesuatu yang zahir. Oleh itu, tidaklah sesiapa pun dengan mudah dapat memiliki sif-sifat ini. Hanya golongan Ikhwan inilah saja yang akan mendapat keredhaan daripada Allah.
Maka marilah kita berdoa agar kita termasuk ke dalam golongan Ikhwan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Atau paling-paling kurang pun dapat bertemu dengan para Ikhwan ini, untuk mendapat berkat daripada mereka itu.
E. Sabda Nabi SAW,
“Al-Mahdi akan datang setelah munculnya Panji-panji Hitam dari sebelah Timur yang mana pasukan itu selalu tidak pernah kalah dengan pasukan mana pun.”
Perjuangan hakiki mendaulatkan Islam akan sentiasa mendapat bantuan secara terus daripada Allah SWT dan mereka ini telah diberikan jaminan bahwa mereka tetap akan menang walau dengan siapa pun yang menentang mereka itu. Sebab itulah dalam hadits ini disebutkan bahwa para Ikhwan itu tidak akan dapat dikalahkan oleh mana-mana musuh pun, dan dengan apa cara dan bentuk sekalipun. Ini disebabkan hubungan hati mereka yang amat akrab dengan Tuhan mereka sehingga tidak terdinding oleh apa pun. Setiap usaha mereka sentiasa dibantu oleh Allah.
Pejuang hakiki juga sangat menjaga hubungan hati antara mereka dengan Allah SWT, sehingga perkara yang kecil-kecil saja dalam syariat Islam tetap diambil berat dan diamalkan dengan bersungguh-sungguh. Hanya dengan cara ini sajalah bantuan terus daripada Allah SWT akan tiba kepada mereka sehingga mereka menjadi amat kuat, sama ada secara zahir mahupun batinnya.
Mereka adalah pejuang yang amat gigih, gagah dan berani pada waktu siang, dan gigih, sabar dan rindu beribadat pada malam harinya.
F. Sabda Nabi SAW,
“Orang ramai daripada Timur (Ikhwan itu benar-benar) akan muncul, kemudian menyerahkan
kekuasaannya kepada al-Mahdi.”
Hadits ini memberitahu bahwa para Ikhwan berperanan membangun dan menyiapkan pusat pemerintahan bagi Imam Mahdi dan setelah siap didirikan, mereka akan mencari pemimpin sebenar
iaitu Imam Mahdi lalu diserahkan kekuasaan umat Islam ini seluruhnya kepada beliau. Itulah salah
satu peranan utama para Ikhwan ini pada peringkat permulaan Islam naik pada kali yang kedua.
G. Pasukan Ikhwan ini jumlahnya sudah ditetapkan oleh baginda SAW sendiri, berdasarkan beberapa buah hadits, yang salah satunya adalah seperti berikut;
“Tiga ratus empat belas orang yang di antaranya adalah perempuan, bergabung dengan al-Mahdi
yang akan bertindak ke atas setiap pemimpin yang berbuat zalim dan menegakkan keadilan
seperti yang diharap-harapkan oleh semua orang. Setelah itu, tidak ada kebaikan lagi di muka
bumi ini yang melebihi kebaikan pada masa al-Mahdi.”
Selain disebutkan jumlah orang yang menjadi anggota Ikhwan itu, disebutkan juga bahwa di antara mereka itu adalah dari kalangan wanita. Mereka ini akan sentiasa mentaati Imam Mahdi sebagai
pemimpin mereka dan bertindak bagi pihak Imam Mahdi semasa menguruskan segala urusan umat ini. Dari kalangan mereka akan dilantik Ahlul Hilli wal Aqdi, yang sama sifat-sifat, keimanan, kefahaman dan ketakwaan kepada Allah dengan Ahlul Hilli wal Aqdi yang pertama semasa zaman pemerintahan Sayidina Umar bin Al-Khattab RA dahulu. Hanya jumlahnya saja yang berbeda karena Ahlul Hilli wal Aqdi kali ini lebih besar berbanding dengan jumlah yang pertama dahulu. Ini disebabkan keluasan kawasan jajahan takluk Islam pada zaman Imam Mahdi adalah jauh lebih luas dan kompleks.
H. Ada satu sifat istimewa yang dimiliki oleh Ikhwan ini, iaitu tahan uji, penuh sabar zahir dan batin, ikhlas dalam berjuang, sentiasa bertakwa kepada Allah, seperti yang disebutkan di dalam hadits ini;
“Akan datang Panji-panji Hitam dari Timur, seolah-olah hati mereka adalah kepingan-kepingan besi. Sesiapa yang mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiatlah kepada mereka, sekalipun terpaksa merangkak di atas salji.”
Hadits di atas, selain menyebutkan sifat-sifat sabar para Ikhwan ini, juga menyatakan bahwa para Ikhwan itu adalah khalifah-khalifah Imam Mahdi, yang wajib dibaiat oleh setiap umat Islam apabila mereka muncul nanti. Secara tidak langsung juga dinyatakan bahwa para Ikhwan ini adalah golongan khusus pentadbir muka bumi ini, di bawah pimpinan Imam Mahdi. Penerimaan umat Islam dan manusia umumnya kepada golongan Ikhwan ini adalah wajib, berdasarkan penyataan hadits di atas.
Kepingan-kepingan besi yang dimaksudkan adalah sifat sabar yang tinggi, ketahanan terhadap ujian, ikhlas dalam perjuangan mereka, amat bertakwa kepada Allah dan mempunyai kefahaman yang sama pula. Penghayatan mereka kepada syariat Islam amat tinggi manakala penonjolan zahir mereka dilihat tidak berbeda antara setiap seorang daripada mereka. Kita melihat seorang mereka seperti kita melihat yang ramai, dan kita melihat yang ramai itu seperti kita melihat seorang. Begitulah samanya mereka dari segala segi, baik yang berkaitan dengan pekerjaan dunia apatah lagilah kalau yang berkaitan dengan pekerjaan akhirat. Hal ini amatlah sukar dilakukan oleh mana-mana pemimpin.
I. Sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA juga ada menceritakan mengenai sifat
istimewa Ikhwan ini, dalam hadits berikut yang maknanya kira-kira begini:
“Di antara umatku yang bersangatan cintanya kepadaku, ialah manusia yang hidup sesudahku.
Salah seorang di antara mereka itu (karena) sangat ingin melihatku, (sehingga sanggup menjual)
dengan anak isteri dan seluruh harta bendanya.”
Ikhwan adalah golongan yang sangat mencintai Rasulullah SAW, sama seperti yang pernah berlaku kepada para Sahabat RA pada masa dahulu. Malah mereka ini sanggup menjual anak isterinya (pada jalan Allah) karena ingin sangat bertemu dengan baginda SAW, sama ada di dunia ini mahupun di akhirat sana. Sesiapa yang sangat merindui Rasulullah SAW, seolah-olah Rasulullah SAW itu berada di hadapan matanya, maka orang itu insya-Allah akan dapat bertemu dengan Rasulullah SAW, dan insya-Allah juga akan termasuk ke dalam golongan Ikhwan yang amat sedikit jumlahnya itu. Oleh itu, kita hendaklah mencintai Rasulullah SAW dengan bersungguh-sungguh, seolah-olah baginda SAW itu pernah kita lihat, pernah berada di hadapan kita dan seolah-olah Baginda SAW itu mengenali kita, seperti baginda SAW mengenali para sahabat baginda semasa hayatnya dahulu.
Hadits ini juga menjelaskan secara yang amat tersirat bahwa yaqazah adalah dibolehkan oleh
syarak karena Rasulullah SAW sendiri yang menyebutkan keharusan yang demikian itu, seperti yang
dinyatakan dalam hadits ini. Hal ini dapat dimengertikan melalui penyataan bahwa para Ikhwan itu ingin sekali bertemu dengan baginda SAW sedangkan kita semua sedia maklum bahwa Rasulullah SAW itu sudah lebih seribu empat ratus tahun wafat, dan makamnya yang mulia itu masih terjaga dengan rapi di dalam Masjidin Nabawi di kota suci Madinah al-Munawarah. Mustahillah Rasulullah SAW menyebutkan keinginan mereka itu sedangkan mereka maklum dan Rasulullah SAW sendiri pun maklum jarak masa antara mereka amatlah jauh.
Maksud lain ialah orang-orang yang pernah melihat Rasulullah SAW, sama ada secara jaga (sedar) atau melalui mimpi basyirah adalah antara tanda bahwa orang-orang itu adalah salah seorang orang kanan Imam Mahdi. Ini dikarenakan Imam Mahdi itu sendiri selalu bertemu dengan Rasulullah SAW, sama ada secara jaga atau tidur, bertemu dengan roh saja atau bersekali jasad dengan roh Baginda SAW itu. Hal ini tidak pelik bagi golongan sufi dan ahli tasawuf, tetapi amat pelik malah diingkari oleh golongan yang mengaku dirinya sarjana Islam atau ulama moden, juga oleh puak Wahabi. Maka hadits ini menjadi bukti kukuh bahwa para Ikhwan itu akan dapat bertemu dengan Baginda SAW, sama ada melalui mimpi atau secara sedar dan (bagi yang fasih berbahasa Arab dapat pula) bercakap-cakap.
J. Sebuah asar lain yang bersumber daripada Sayidina Ali RA menceritakan dengan lebih terperinci sifat-sifat Ikhwan ini, seperti berikut;
“Maka Allah Azza wa Jalla menghimpunkan sahabat-sahabatnya seramai tentara-tentara Badar dan seramai tentara Talut, iaitu 313 orang lelaki, seolah-olah mereka itu singa-singa jantan yang keluar dari hutan. Hati mereka itu ibarat kepingan-kepingan besi. Kalaulah mereka berkehendak untuk memindahkan gunung, nescaya akan mampu mereka lakukan. Pakaian mereka sejenis dan seolah-olah mereka itu dari satu ibu dan satu ayah.”
Hadits ini menjelaskan bahwa para Ikhwan ini berkumpul adalah atas Qudrat dan Iradat Allah SWT jua, bukannya dengan daya upaya manusia. Allahlah yang mengumpulkan mereka. Mereka ini dikumpulkan oleh Allah di suatu tempat, bersama-sama berjuang membina Islam di dalam diri, keluarga, masyarakat, jemaah dan seterusnya negara mereka. Semua jadual-Nya ini sudah ditentukan secara langsung oleh Allah SWT.
Mereka juga adalah orang-orang atau sekumpulan orang yang amat ditakuti oleh pihak musuh. Kekuatan setiap orang daripada mereka adalah bersamaan dengan kekuatan sepuluh orang bagi pihak lawan. Ketakutan pihak musuh terhadap mereka adalah seperti takutnya seseorang apabila melihat singa jantan yang baru keluar daripada hutan lalu masuk ke tengah kampng atau bandar. Pasti kampung atau bandar itu akan kecoh dan huru-hara dibuatnya. Sepuluh orang lelaki yang gagah pun belum tentu berani atau sanggup menangkap seekor singa yang terlepas ke dalam bandar atau kampung. Memang perumpamaan ini amat tepat dengan mereka karena singa adalah antara binatang yang susah ditemui, maka Ikhwan ini diumpamakan seperti singa yang sukar ditemui.
Sudahlah mereka itu diibaratkan seperti singa, hati mereka pula diumpamakan seperti kepingan-kepingan besi yang ditempa. Sudahlah menggerunkan musuh, amat handal dan tahan pula. Besi yang ditempa adalah bahan yang terbaik dan terkukuh untuk digunakan sebagai senjata atau apa-apa saja. Begitu halusnya perumpamaan yang dibuat itu. Hanya yang hatinya bersinar saja yang dapat menangkap maksud-maksud yang amat tersirat dan seni itu, dan seterusnya membangunkan apa yang telah sedia difahaminya itu. Itulah dia Pemuda Bani Tamim, pemimpin singa dan penempa besi yang amat kuat dan kukuh.
Hutan yang dijadikan perumpamaan ini juga bermaksud kawasan tempat tinggal mereka adalah kawasan yang mempunyai hutan yakni berpokok dan bukannya kawasan gurun. Dan kawasan di Timur seperti yang banyak disebutkan itu adalah kawasan yang berhutan dan berpokok. Jelaslah bahwa Sayidina Ali KMW menerangkan sesuatu yang telah disebutkan oleh Nabi SAW tetapi dengan menggunakan bahasa yang berlainan dan perumpamaan yang berbeda. Hal ini hanya dapat benar-benar difahami dan dimengertikan oleh orang-orang yang telah mendapat ilmu daripada Allah, terutamanya dari kalangan para Ikhwan itu sendiri dan pemimpin mereka, Syuaib bin Saleh at-Tamimi.
K. Pernah suatu ketika, Rasulullah SAW menyebutkan kecintaannya yang amat sangat dan kerinduan
yang begitu mendalam kepada para Ikhwan ini dengan sabdanya,
“Aku tersangat rindu kepada para Ikhwanku.” Maka bertanyalah para sahabat, “Ya Rasulullah SAW, bukankah kami ini Ikhwanmu?” Rasulullah SAW menjawab, “Bukan, malah kamu adalah sahabatku. Sedangkan Ikhwanku adalah orang yang beriman denganku walaupun mereka tidak pernah melihatku.”
Hadits ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA dan Anas RA dengan matan yang sedikit berlainan.
Maksudnya, kalau Rasulullah SAW sendiri sudah menyatakan rindunya yang amat mendalam terhadap para Ikhwan ini, maka menjadi suatu kesalahan pulalah kalau kita masih buat endah tak endah saja terhadap perasaan cinta baginda itu. Maka kalau kita ingin menjadi salah seorang Ikhwan yang dimaksudkan, hendaklah menanam perasaan cinta kepada Rasulullah SAW dengan sepenuh hati dan mengumumkannya pula kepada orang ramai. Dan salah satu cara menzahirkan rasa cinta kita kepada baginda SAW itu ialah dengan membanyakkan membaca selawat kepada Baginda SAW dan mengamalkan sunnah baginda dengan ikhlas dan sepenuh hati.
L. Peranan Ikhwan ini sangatlah besar dalam kebangkitan Islam kali kedua, pada zaman ini. Mereka
menyediakan tapak pemerintahan untuk Imam Mahdi yang bakal keluar tidak lama lagi, seperti yang termaktub di dalam hadits ini;
“Akan ada orang-orang yang keluar dari sebelah Timur, lalu mereka mempersiapkan segala urusan untuk al-Mahdi, yakni pemerintahannya.”
Timbul beberapa persoalan baru, terutamanya daripada orang-orang yang masih ragu-ragu dan orang yang baru hendak tahu tentang golongan Ikhwan ini. Antaranya ialah,
1. Siapakah mereka ini sebenarnya?
2. Apakah kelebihan yang ada pada mereka?
3. Bagaimanakah jumlah yang amat sedikit ini mampu mengubah peta dunia?
4. Mampukah mereka mengalahkan kekuatan tentara Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya?
Beberapa persoalan lain turut bermain-main di fikiran kita pada hari ini, memandangkan kita sememangnya kekurangan maklumat yang tepat akan hal ini. Memang sifat manusia itu ialah ingin
tahu apabila mereka merasakan yang mereka sememangnya tidak tahu. Mengenai persoalan-persoalan
di atas, ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan dengan tepat walaupun hanya secara ringkas saja.
Ikhwan yang dikatakan itu adalah terdiri daripada bangsa Timur keseluruhannya. Mereka adalah anak-anak didik Pemuda Bani Tamim, golongan yang iltizam dalam mujahadatunnafsi, berusaha mengamalkan sungguh-sungguh setiap sunnah Nabi SAW dalam setiap aspek kehidupan, rajin bekerja pada waktu siang, rajin beribadat pada waktu malam, sentiasa berkasih sayang terhadap sesama mereka, mengikut sungguh-sungguh setiap jejak Pemuda Bani Tamim sehingga setiap mereka itu dilihat sebagai ‘Pemuda Bani Tamim Kecil’ iaitu tidak banyak berbeda daripada pemimpin mereka, baik dari segi amalan harian, takwa, pemikiran, pemahaman, pakaian zahir, sikap, pembawaan, akhlak, ilmu agama, kehidupan harian dan sebagainya.
Maknanya, jika salah seorang dari mereka diletakkan ke suatu tempat yang asing, maka mereka ini berupaya menghidupkan sunnah di tempat tersebut sehingga sama atau hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin besar mereka itu. Itulah golongan yang sentiasa dibantu oleh Allah karena mereka membantu Pemuda Bani Tamim dan keberadaan mereka juga membawa rezeki kepada semua orang sama ada Islam atau tidak. Mereka membangunkan dunia sungguh-sungguh untuk kepentingan Islam keseluruhannya, bukan untuk kepentingan mana-mana peribadi atau kelompok mereka saja.
Kelebihan mereka adalah mereka ini merupakan golongan yang amat kecil. Lazimnya setiap yang asing dan sedikit jumlahnya amatlah bernilai dan begitu istimewa. Mereka ini amat istimewa pada pandangan Rasulullah SAW walaupun ganjil dan pelik pada pandangan orang ramai. Apabila Rasulullah SAW sendiri memandang mereka ini sebagai golongan yang amat istimewa, maka tiadalah lagi yang lebih tinggi dan bernilai daripada itu di dunia ini. Melalui mereka juga pertolongan Allah SWT turun kepada seluruh manusia di dunia ini, sehingga dihilangkannya penyakit dan bala yang sedang amat hebat melanda seluruh dunia, dihapuskan segala maksiat dan dosa dari atas muka bumi ini sehingga kalimah Allah ditinggikan oleh seluruh manusia setinggi-tingginya.
Mereka ini jugalah yang dijanjikan oleh Allah akan mengubah sekali lagi seluruh peta dunia sehingga yang tinggal hanyalah dua sempada saja iaitu sempadan antara Darussalam dengan Darulharbi. Tidak ada lagi sempadan geografi seperti yang sedang berlaku sekarang. Pada hari itu cuma ada negara Islam dengan negara kafir saja. Hal ini pernah berlaku pada zaman dahulu, ketika Islam berkuasa ke atas tiga suku dunia. Dan sejarah itu akan berulang sekali lagi, pada zaman ini.
Kekuasaan Islam melangkau seluruh kawasan, tanpa mengira warna kulit, bahasa, bangsa, tempat dan
adat resam. Asalkan Islam pasti akan bernaung di bawah pemerintahan seorang khalifah yang amat
adil, bertakwa lagi gagah perkasa.
Biarpun jumlahnya amat sedikit, dengan jumlah yang sedikit itulah Allah SWT turunkan bantuan-Nya kepada mereka karena mereka adalah golongan Allah atau orang Allah. Sudah pastilah orang Allah akan mendapat bantuan daripada Allah, seperti juga orang-orang Yahudi yang mendapat bantuan daripada Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Kita tidak perlu melihat contoh yang jauh-jauh, lihatlah saja bagaimana pasukan tentara Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dahulu yang sebegitu ramai jumlahnya dapat dikalahkan dengan mudah oleh pasukan Feringgi yang kecil saja bilangannya. Padahal kita semua tahu bahwa pasukan Feringgi itu beragama Kristian. Itupun boleh menang melawan tentara yang beragama Islam dan ramai pula. Selain contoh itu, ada berapa banyak lagi contoh yang menunjukkan bilangan yang sedikit mampu mengalahkan bilangan yang ramai.
Oleh itu, jelaslah bahwa bilangan yang ramai dan kelengkapan yang termaju bukanlah penentu sesuatu pasukan itu menang atau kalah. Belum tentu bangsa yang kecil itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap bangsa yang besar dan ramai. Bangsa yang ramai tetapi tidak bertakwa lebih mudah dikalahkan daripada bangsa yang kecil tetapi bertakwa. Konsep ini sudah tidak lagi dipakai oleh umat Islam sendiri terutamanya dalam bidang politik. Sebab itulah kita lihat setiap parti politik setiap hari mahu menambah ahlinya, untuk menunjukkan mereka lebih besar dan lebih kuat daripada saingannya. Walhal semakin ramai ahlinya, akan semakin besarlah pula masalah yang akan mereka tanggung, dan akan semakin cepat pula hancurnya parti itu. Mereka beranggapan dengan ramainya ahli, akan lebih cerah pula peluang untuk mereka mendapat kuasa memerintah sesebuah negeri, atau negara.
Dan golongan Ikhwan rupa-rupanya tidak mengikut sunnah politik Barat itu, malah mereka amat berbeda sekali daripada yang demikian itu. Sebab itulah mereka ini dikatakan ganjil, karena tidak mengikut jalan yang lazim digunakan oleh dunia pada hari ini.
6. Ikhwan Adalah Golongan yang Dijamin Syurga
A. Dari Nawas bin Sam’an RA, katanya, Suatu pagi Rasulullah SAW menyebutkan hal Dajjal.
“… (Haditsnya panjang… dipendekkan) … Isa AS mengejar Dajjal itu sampai ditemuinya di Bab Lud lalu dibunuhnya. Kemudian, suatu kaum (maksudnya para Ikhwan) yang dipelihara Allah daripada tipuan Dajjal, datang menemui Nabi Isa bin Maryam AS. Lalu dibarutnya muka mereka dan diceritakannya kepada mereka tingkat kediaman mereka (yang tinggi) di dalam syurga. Dalam keadaan demikian, ketika itu Allah mewahyukan kepada Isa AS: …” (Muslim)
Hadits ini menyatakan secara jelas bahwa golongan Ikhwan ini adalah golongan yang sudah mendapat jaminan Allah akan dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Hal ini sama dengan jaminan Rasulullah SAW sendiri terhadap para Sahabat RA pada masa dahulu. Itulah dia golongan yang amat beruntung pada akhir zaman ini. Sesiapa yang tidak mahu menjadi salah seorang daripada orang yang mendapat jaminan Rasulullah SAW untuk masuk ke dalam syurga, maka orang itu adalah orang yang bodohnya sangat besar, tidak ada lagi kebodohan yang lebih daripada itu. Sebabnya orang-orang dahulu berlumba-lumba dan sanggup bersusah payah untuk mendapatkan syurga, malah ramai yang mati karena mahu mendapatkannya, mereka ini iaitu golongan ini sudah diberitahu awal-awal lagi bahwa mereka akan menempati tempat di dalam syurga.
Namun pada hari ini orang Islam lebih takutkan mati syahid dalam perjuangan pada jalan Allah. Pada mereka biarlah mereka mati dalam keadaan beriman, cukuplah. Ramai yang lebih sanggup mati di atas jalan raya daripada dalam perjuangan. Pada hal para sahabat RA dahulu takut mati di atas katil, sebaliknya mahu mati di medan perjuangan. Amatlah jauhnya impian kita pada hari ini dengan impian para sahabat RA itu. Maka amatlah beruntungnya sesiapa yang terpilih menjadi salah seorang daripada anggota Ikhwan ini. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT agar kita dimasukkan-Nya ke dalam golongan yang telah mendapat jaminan-Nya untuk dimasukkan ke dalam syurga, bighairi hisab. Aamiin!
7. Imam Mahdi dan Ikhwan
A. Muhammad bin Ali al-Hanafiah RH berkata,
“Kami sedang bersama-sama dengan Sayidina Ali KMW apabila seorang lelaki bertanya tentang Al-Mahdi. Imam Ali KMW berkata, “Begini.” Lalu ditemukannya jari-jarinya sambil dikira sampai tujuh dan berkata, “Dia akan muncul pada akhir zaman ketika orang-orang (munafik) berkata bahwa Allah telah mati. Kemudian melaluinya (Al-Mahdi) Allah mendatangkan untuk mereka awan mendung yang menutup langit lalu Allah mempertautkan antara hati mereka sehingga mereka tidak berasa keseorangan lagi malah akan lebih gembira jika ada orang lain yang menyertainya. Bilangan mereka adalah seperti pasukan Badar. Sama ada mereka itu pada permulaannya yang mendapatinya atau yang kemudian lalu menyertainya. Bilangan mereka tetap (sama) seperti bilangan tentara Talmut yang berjaya menyeberangi sungai dengannya (Talut).”
Pada hari ini memang telah muncul golongan yang mendakwa mereka adalah golongan terpelajar, cerdik pandai, ahli sains dan pemikir agung yang menafikan kewujudan Tuhan secara terus terang. Bagi mereka, setiap sesuatu mestilah dapat dicapai oleh akal mereka, dapat dianalisis oleh matematik, dapat diformulakan oleh fizik dan kimia, dapat dilogikkan oleh pemikiran dan boleh dicerna oleh sumber-sumber alam semula jadi. Seruan-seruan yang seperti ini sama ertinya dengan perbuatan orang yang mengatakan bahwa Tuhan telah mati. Akal merekalah yang menjadi raja, sekaligus menjadi tuhan bagi mereka. Setiap yang tidak terjangkau oleh akal, akan dicari jalan bagi melogikkannya.
Dalam keadaan beginilah Imam Mahdi muncul lalu menarik kembali manusia kepada fitrah asal mereka iaitu mengakui ketundukan manusia kepada Tuhan yang menjadikan sarwajagat ini. Pada masa itu, semua manusia akan mengakui wujudnya Tuhan, malah dapat merasakan keberadaan Zat yang Wajibal Wujud itu dalam setiap sesuatu. Maknanya semua ideologi batil akan dimusnahkan oleh Imam Mahdi sehingga ke akar umbinya sekali.
Salah satu ciri penting Ikhwan ini adalah mereka sentiasa berjemaah. Para Ikhwan ini juga tidak akan berasa keseorangan karena mereka sentiasa berjemaah walau ke mana saja mereka pergi.
Setiap apa yang mereka lakukan, pasti mereka lakukannya secara berjemaah. Dan melalui jemaah inilah Allah SWT turunkan berkat, rahmat dan sakinah kepada setiap mereka. Pertolongan terus daripada Allah juga turun melalui jemaah.
8. At-Talakan
A. Kata Sayidina Ali KMW,
“Sejahteralah kepada At-Talakan. Sungguh, pada Allah itu ada perbendaharaan-Nya, bukan emas atau perak tetapi lelaki-lelaki yang mengenali Allah dengan ilmu yang hakiki dan mereka akan membantu Al-Mahdi pada akhir zaman.”
At-Talakan adalah sebahagian dari golongan Ikhwan dan jumlahnya seramai dua puluh lima orang. Maknanya, daripada sejumlah 314 orang anggota Ikhwan itu, 25 orang daripadanya dipanggil sebagai At-Talakan. Yang 25 orang ini adalah orang-orang yang alim dan hikmah dari kalangan Ikhwan. Mereka ini juga adalah golongan yang kuat ibadat kepada Allah dan tinggi iman mereka daripada yang lain. Seperti yang disebutkan, semua mereka adalah dari kalangan lelaki saja. Tugas dan peranan mereka disamakan seperti peranan rasul-rasul Allah yang 25 orang, dan hanya dibedakan oleh taraf mereka saja. Jika para rasul diberikan mukjizat, para Talakan ini dibekalkan dengan keramat, sesuai dengan taraf mereka sebagai wali-wali Allah. Merekalah golongan yang gigih berdakwah kepada seluruh umat manusia walau di mana saja mereka berada.
Ilmu mereka adalah ilmu yang hidup, yang diambil terus daripada perbendaharaan Allah SWT. Melalui mereka ini Allah turunkan ilmu yang berkat iaitu ilmu yang mampu menyuburkan hati manusia, yang mampu mendekatkan manusia dengan Khaliknya, mampu menguatkan iman setiap manusia, mampu memperkasakan pemikiran, menyuluh akal dengan hakikat kebenaran, memadanikan setiap anggota masyarakat dan negara, menjulang agama Islam ke tempat yang tinggi dan mulia, dan menundukkan hati manusia kepada kebenaran hakiki.
9. Ar-Rufaqak dan Wali Abdal
A. Sayidina Ali KMW berkata,
“Apabila dia yang dari ahli keluarga Muhammad SAW keluar, Allah akan mempertemukan para pengikutnya dari Timur dan Barat dengannya, seperti bertemunya awan-awan pada musim luruh. Mereka adalah ar-Rufaqak, mereka datang daripada penduduk Kufah, dan Wali Abdal yang datang daripada penduduk Syam.”
Wali Abdal adalah antara golongan wali yang sangat mulia pada sisi Allah SWT. Jumlah mereka adalah 40 orang lelaki dan 40 orang wanita pada setiap masa. Apabila salah seorang daripada mereka mati, maka Allah akan gantikan tempatnya pada hari itu juga dengan seseorang yang lain, yang diangkat taraf walinya kepada taraf Wali Abdal. Mereka ini datang dari kalangan penduduk Syam, dan pada hari ini perkataan Syam itu hanyalah kiasan saja karena yang dimaksudkan dengan Syam itu adalah kawasan yang pengamalan Islamnya amat baik.
Sehubungan itu, para Rufaqak adalah menyamai bilangannya dengan bilangan Wali Abdal iaitu 40 orang lelaki dan 40 orang perempuan. Dari segi taraf, kedua-duanya adalah golongan yang istimewa pada sisi Allah dan memberi jasa yang amat besar terhadap perkembangan Islam pada akhir zaman. Kedua-duanya membantu Imam Mahdi. Beda antara Wali Abdal dengan Rufaqak ini hanyalah dari beberapa segi, seperti berikut:
1. Wali Abdal tidak mempunyai ketua khusus karena mereka adalah golongan wali yang khusus Allah lantik untuk mengelakkan dunia ini daripada dibinasakan-Nya karena dosa-dosa manusia. Rufaqak pula mempunyai ketuanya sendiri, dipilih dan dididik oleh ketuanya iaitu Pemuda Bani Tamim.
2. Para Rufaqak berperanan mengembangkan Islam sebelum Imam Mahdi muncul ke dunia ini ketika dunia ini sedang benar-benar rosak manakala Wali Abdal pula berperanan besar selepas Imam Mahdi muncul dan memerintah.
3. Wali Abdal sentiasa ada di atas dunia ini sejak zaman permulaan zaman Khulafa ur-Rasyidin lagi sehinggalah ke saat terakhir umat Islam hidup di atas dunia ini, sejurus sebelum dunia ini dikiamatkan. Para Rufaqak pula hanya muncul sekali saja di dunia ini iaitu semasa Pemuda Bani Tamim mendapat kuasa, juga sejurus sebelum Imam Mahdi muncul ke dunia ini dan terus wujud seketika selepas Imam Mahdi muncul.
4. Setiap Wali Abdal yang mati, tempatnya akan digantikan oleh seorang yang lain yang diangkat ke darjat Abdal dan keadaan ini berterusan sehinggalah ke penghujung umur dunia ini nanti. Para Rufaqak apabila mati, tempatnya tidak akan digantikan lagi oleh sesiapa pun sehinggalah orang terakhir yang menjadi ahli Rufaqak itu meninggal dunia. Pada ketika itu, berakhirlah golongan yang dipanggil Rufaqak ini dari atas dunia dan serentak dengan itu, berakhir pulalah peranan golongan ini.
5. Para Rufaqak akan keluar mencari Imam Mahdi sejak sebelum Imam Mahdi muncul lagi dan mereka memulakan perjalanan dari Timur hinggalah sampai ke Makkah.
Golongan Wali Abdal hanya keluar mencari Imam Mahdi setelah terdengar berita bahwa Imam Mahdi sudah muncul dan sedang dibaiat oleh para jemaah haji yang masih hidup.
6. Wali Abdal itu walaupun jumlah pada satu-satu masa hanyalah 40 orang saja, namun jumlah itu berterusan, dan sehingga kini jumlah Wali Abdal itu sudah mencapai ribuan orang karena setiap kali ada kematian di kalangan mereka, akan dilantik yang lain menggantikan tempatnya. Maka jumlah mereka ini memang sudah beribu-ribu orang, jika dihitung semuanya. Jumlah para Rufaqak memang tepat 40 orang lelaki dan 40 orang perempuan, tidak lebih. Jika lebih atau kurang pun, hanyalah satu atau dua orang saja. Maknanya, dari segi jumlah memang mereka ini cuma sebanyak itulah.
7. Wali Abdal kebanyakan mereka datang dari kalangan penduduk Syam yang soleh-soleh dan abid serta selalu mengerjakan amal ibadat yang dikhususkan untuk mereka.
Kebanyakan mereka tidak begitu dikenal oleh orang ramai sepanjang hidup mereka.
Para Rufaqak adalah golongan yang khusus datang dari Timur, dari kalangan orang-orang Timur saja, yang menjadi soleh karena dididik oleh Pemuda Bani Tamim.
Kebanyakan mereka dikenal oleh orang ramai karena mereka selalu berurusan dengan orang ramai terutama untuk berdakwah dan berurus niaga.
8. Golongan Wali Abdal tidak pernah dianggap sebagai golongan Ghurabak karena keberadaan mereka telah diketahui oleh orang ramai sejak awal Islam lagi. Golongan Rufaqak adalah sebahagian daripada golongan Ghurabak karena keberadaan mereka walaupun diketahui sejak awal Islam, munculnya hanya pada akhir zaman menyebabkan mereka dianggap sebagai golongan Ghurabak. Orang Islam pada akhir
zaman sudah terlupa atau tidak perasan lagi kandungan hadits yang menyebutkan adanya golongan Ghurabak ini, termasuk jugalah golongan Rufaqak.
9. Wali Abdal itu dikhidmat oleh orang sepanjang masa kepada mereka sebagai memuliakan kedudukan mereka yang cukup tinggi pada sisi Allah dan kelebihan ini telah Allah kurniakan kepada mereka secara terus sejak dahulu lagi. Orang ramai juga berkhidmat kepada mereka untuk mendapatkan berkat atau mengharapkan doa para Abdal ini untuk kebaikan mereka di dunia ini. Para Rufaqak pula berkhidmat kepada orang, tidak dikhidmat oleh orang kepada mereka. Walaupun taraf mereka ini juga tinggi pada sisi Allah SWT, mereka ditugaskan untuk memberikan sepenuh khidmat kepada pemimpin mereka iaitu Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi serta kepada umat Islam umumnya. Mereka jarang didoakan oleh orang ramai, sebaliknya merekalah yang mendoakan kebaikan dan keselamatan untuk orang ramai.
10. Umat Islam Wajib Mencari Pemimpin yang Dijanjikan
A. Dari Abdullah RA, dia berkata,
“Ketika kami sedang berada bersama-sama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan pemuda dari Bani Hasyim. Apabila baginda melihat mereka, tiba-tiba air matanya berlinang dan wajahnya berubah. Abdullah berkata, aku bertanya, “Kami melihat sesuatu yang tidak kami senangi pada wajahmu?” Maka baginda menjawab, “Kami adalah Ahlul Bait yang Allah telah memilih bagi kami kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. Sesungguhnya ahli keluargaku, sepeninggalanku nanti, akan menerima bala bencana pengusiran dan pembuangan, sehingga datanglah suatu kaum dari arah Timur yang membawa Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya, lalu mereka berjuang dan menang, lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerimanya sehingga mereka menyerahkan kepemimpinan itu kepada salah seorang lelaki dari ahli keluargaku. Dia lalu memenuhinya
dengan berbuat adil, seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan kezaliman. Barang siapa di antara kamu semua yang menjumpai hal-hal tersebut, hendaklah dia mendatangi mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salji.” (Al-Hakim & Ibnu Majah)
Hadits Panji-panji ini menyatakan apabila Pemuda Bani Tamim muncul ke dunia ini dengan mendapat kuasa pemerintahan di sebelah Timur, maka setiap umat Islam wajib membaiatnya sebagai pemimpin mereka. Tidak ada dolak dalik lagi dan setiap orang wajib mendatanginya walau sebesar mana halangan dan sesusah mana pun jalan yang terpaksa dilalui. Dan sesiapa yang mati sedangkan dia tidak mahu membaiat Pemuda Bani Tamim sebagai pemimpin mereka, maka matinya adalah seperti matinya seseorang dalam keadaan jahiliyah. Nahaslah dia di dalam kubur kelak, dan lebih-lebih lagilah nahas dia di akhirat nanti.
Rasulullah SAW juga menyebutkan setiap umat Islam mencari tanda-tanda yang dapat membawa mereka kepada terjumpanya Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi. Misalnya dari segi masa, iaitu pada awal kurun Hijrah. Dari segi tempat iaitu di Timur, dari segi pemimpin iaitu Pemuda Bani Tamim, dari segi pengikut iaitu golongan Ikhwan dan Asoib dan dari segi keadaan dunia iaitu datang tanda-tanda yang masyhur disebutkan oleh hadits-hadits. Setelah berjumpa, wajiblah membaiatnya sebagai pemimpin.
Wallahu'alam
Sumber
https://ift.tt/2YbldwF
Comments
Post a Comment